mytheory 5
mytheory5
"No comment"
Itu saja jawab aku bilamana ayah tanyakan apa perasaan aku bilamana golongan pro-pembangkang menang dalam pilihanraya kampus UIA. UIA memetik kata Utusan; adalah kubu terakhir dan terkuat parti pembangkang.
Aku bukan orang politik walaupun aku belajar sains politik. Walaupun aku antara manusia yang ghairah melihat bagaimana proses itu dijalankan, aku taklah berapa berminat sangat untuk menjadi sebahagian daripada proses itu.
Bapa aku orang pembangkang. Ya, aku sedar dan aku tidak malu untuk menyatakan itu. Sebab bapa aku bukan pembangkang totok yang hari-hari maki orang sedangkan diri masih bermain dam di kedai kopi. Bapa aku orang kerajaan yang tidak sokong kerajaan.
Pernah satu hari orang jumpa bapa aku dan tanya dia: Dok haghang ke makang duit keghajaang tapi sokong pengbangkang? (Tak haramkah makan duit kerajaan tapi sokong pembangkang?) Dengan muka selamba dia, dia jawab: Tak haramkah jadi kerajaan tapi makan duit bahagian pembangkang?
Sejujurnya aku benci istilah :pembangkang. Aku lebih gemar istilah Inggerisnya. "Opposition". Lawan, barisan alternatif atau apa-apa sajalah yang lebih tepat. Kerana tugas sebenar parti lawan dalam politik adalah untuk memastikan 'check and balance' dalam fungsi kerajaan. Bukan nak jadi kaki bangkang atau kaki gaduh. Bukan 'pembangkang' itu kerjanya mengutuk mengeji dua puluh empat jam.
Tak adil bilamana diletakkan yang menjadi kerajaan itu di pihak yang baik, dan yang lawannya di pihak jahat. Dua-dua pun baik, cuma ideologinya berbeza.
Aku ini orang Terengganu. Asal aku daripada negeri Pantai Timur itu walaupun aku di sini (Kuala Lumpur) cakap dalam bahasa longhat KL. Aku bangga cakap: aku orang kampung. Aku tak bangga bilang: Aku orang bandar. (walaupun berumah juga di sini)
Terengganu adalah lubuk Melayu asli. Melayu yang islam, bercakap Melayu(walaupun loghatnya Terengganu) dan juga berbudaya Melayu. Orang Terengganu ke super market Astaka pakai kain pelekat dan baju pagoda. Orang Terengganu makan lempeng susu cicah kelapa muda. Dengan harga tak sampai seringgit dan boleh pula pandang sepet sebelah mata pada Domino pizza.
Aku lihat politik pilihanraya umum Malaysia waktu di Terengganu, dan bagi aku realiti politik amat kotor. Aku tahu politik itu tidak kotor, namun keadaannya dalam penglihatan sekarang macam tangki najis. Ia sendiri tak kotor, tapi kerana najis-najis di dalamnya, ia jadi busuk dalam bau, menyakitkan dalam hati merasa.
Depan rumah aku, atas tanah keluarga sendiri, aku lihat wakil parti penguasa tabur duit. Duit siapa kalau bukan duit ayah aku, makcik aku, dan mereka-mereka yang aku kenal, yang tak pernah lupa membayar cukai tiap-tiap tahun?
Bukan kisah dongenag, bukan khabar angin. Wakil rakyat yang aku tak pernah lihat 4 tahun yang lalu(tak kenal pun), boleh muncul macam jin daripada lampu ajaib; tiba-tiba dan penuh bekal. Not rm50, kain pelekat dan sepaket beras 20 kg dibahagikan pada fakir miskin kampung aku. Maka melalaklah wakil
Dan melalaklah pula orang-orang kampung aku itu, puji puja baiknya wakil
Aku bukan anti kerajaan! Bapa aku pun bukan dan rakan-rakan aku pun bukan! Aku cuma dah bosan. Bosan diperbodoh, dikeji dan dihina seolah kami ini haiwan. Macam lembu di padang ragut. Rumput ada di mana-mana tapi perlu ditambat. Tambat di hidung dan mengikutlah mereka-mereka ini ke sana dan ke situ, mana-mana yang berkenan dek tuan lembu.
Aku manusia, bukan lembu. Dan orang-orang kampung, rakyat Malaysia pun begitu. Sampai bila mahu layan rakyat macam lembu? Aku ada otak. Yang betul, betullah, takkan jadi salah. Yang salah pula, takkan jadi betul begitu-begitu saja.
Parti Pembangkang jatuh dan memerintahlah Parti Penguasa. Bangunan naik di sana sini, majulah Terengganu. Namun apa erti maju? Bangunan tinggi atau jambatan panjang? KLCC lebih tinggi daripada Tokyo Tower, tapi kenapa Jepun negara maju, kita negara membangun?
Ingat. Ingat kata Ibnu Khaldun. Malah ingat kata Emmanual Kant kalau anda tak betah percaya tokoh Islam; ketinggalan zaman.
"Asas sebuah negara pada masyarakatnya. Masyarakat pada individu. Dan individu pada rohnya. Bangun daripada dalam ertinya bawa kuat kepada luar. Bangun daripada luar ertinya bawa hancur pada dalam".
-Ibnu Khaldun, Al-Muqaddimah.
"Kemanusiaan adalah raja kebendaan. Kerana benda itu wujud daripada kehendak sedang kemanusiaan mewujudkan kehendak yang betul. Negara dengan kebendaan, tanpa kemanusiaan, merosakkan inti kenegaraan. Ia jadi semacam telur. Keras kerak, lembut isi. Hancur kulit, leburlah diri".
-Emmnual Kant, Anthropology from a Pragmatic Viewpoint.
Bukan mahu menentang, bukan membangkang. Cuma mahu betulkan. Kalau berbisik diabaikan, maka pekik jerit saja jadi tambatan.
UIA, Taman Ilmu dan budi. Aku suka tema itu. Ilmu dan budi. Pernah juga fikir-fikir kenapa bukan Ilmu dan iman, atau ilmu dan islam. Entah, mungkin juga pemikiran pemimpin UIA adalah seperti Imam Syafie. "Usah guna nama Islam. Nanti salah kita, ditudingnya orang, kurang Islam".
Kali pertama ikuti sepenuhnya politik kampus. Wah, tak kurang hebat. Daripada kempennya (aku tak punya luang mahu tonton penamaan calon), daripada kempen saat-saat akhirnya (ini dibezakan daripada 'kempen' kerana ia datang daripada sebelah pihak saja).
Ini kali pertama e-voting diperkenalkan di kampus UIA, Gombak. UIA terbahagi kepada tiga. Kampus utama di Gombak, matrikulasi di Petaling Jaya dan perubatan di Kuantan. Majoriti pelajar UIA masih lagi Melayu Islam, namun populasi pelajar asing di sini juga sangat tinggi.
CERITA PILIHANRAYA:
1. Kempennya
Kempen di UIA adalah kempen underground. Tak nampak, tak sedar, tahu-tahu dah ada poster bertampal di pintu bilik dan jua pintu tandas. Kempen pakai mulut, bawa khabar dengan angin. Pelan-pelan namun sampai pada telinga, masuk dalam hati.
Cuma boleh kempen betul-betul sehari di sini. Sehari penuh meriah. Kawan-kawan aku cerita (aku takde masa ni, ada urusan dengan Yang Di Pertuan Agong) : Sakan mereka kempen! Kami makan kat ** cafe, dan datanglah satu demi satu rombongan perayu undi. Penuhlah tangan dengan kertas. Sepenuh jalan, nak ke library (UIA bermedium rasmi Inggeris) ada saja orang berkempen. Balik Mahallah(ini adalah kolej dalam bahasa Arab), ada pula datang gerombolan
Malam, kempen sampai dua belas malam saja. Ini aku ada. Kali pertama aku solat masjid, boleh ada bersaf-saf dan berjemaah-jemaah. Panas benar bahana pilihanraya ni ya, sampaikan air wudhuk saja mampu menyamankannya :)
2. Kempen-kempen saat akhirnya
Wah, tak cukup risalah
3. Saat pengunguman
Saat debar mula jam 6 petang. Berkumpul di dewan sedang pengiraan masih diteruskan. benar-benar janji Melayu. Jam 9 baru diumumkan. Cuma bagusnya ini UIA, bila azan Maghrib kumandang, penuhlah bersaf-saf di masjid UIA. MERIAH dan menyeronokkan. Patut hari-hari mengundi, baru masjid penuh :) Bila lagi nak tengok pemimpin jadi imam kalau bukan waktu ini. Bila lagi nak tengok orang baca surah mendayu-dayu.
Masa menanti, banyak benar luarbiasanya. Kenapa di Gombak saja pakai e-voting, di Kuantan manual? Kenapa ada undi tak bercalon? Kenapa ada undi lebih daripada calon? Banyak lagilah ajaibnya, mengalahkan ajaibnya bilamana aku baca Hikayat Malim Demang atau Hikayat Hang Tuah. Melampau-lampau pelik sampai hilang logik. Mungkin ada penjelasannya, aku saja yang tak tahu. (Kita kena sangka baik :) )
Waktu solat Maghrib(aku asingkan ini daripada agenda Islam), ada orang tabur risalah. Daripada gerakan pelajar pro-pembangkang. Kononnya. Ajaib(lagi), tukang taburnya orang sama dengan dia yang bagi pengundi, kertas tertulis : Ini calon ekstrem yang sokong parti pembangkang. Tolak mereka!!
Ia berakhir dengan baik. Kata senior aku: Orang-orang kita menang.(maksudnya pro-pembangkang).
Aku tak kira siapa dia. pro-pembangkang atau pro-kerajaan. Janji orangnya layak dan kan tunai janji. Ramai yang aku berkenan(dan kebetulan pula mereka pro-pembangkang) dan adalah barang seorang yang aku kurang berkenan(walaupun dia pun pro-pembangkang).
..............
Kisah ini panjang. Sangat panjang barangkali. Namun yang panjang tak mungkin dipendekkan kerana ia memang panjang. Kerna ini kisah politik. Kisah seni segala kemungkinan. Kisah politik yang pendek adalah kisah politik daripada mata lembu. Sekadar ditambat hidung, mengikut dan makan rumput.
Ini kisah politik manusia. Politik manusia ada motif, ada strategi, ada hidden agenda dan ada sejuta cara untuk sempurnakannya.
Hanya kerna itu ia perlu panjang. Kerna akal dicipta untuk berfikir panjang, bukan untuk disimpan atau diperam.
:)
0 Comments:
Post a Comment
<< Home